Sumbangan Ikhlas kepada Pn Mariam Kadir

21/12/09, seorang rakan kita daripada unti RNO Data, Pn. Mariam kadir telah dimasukkan ke Hospital Papar kerana menghidap Demam Denggi. Alhamdulillah Demam Denggi yang dihadapi oleh beliau tidak lah begitu serius dan boleh dirawat dibawah jagaan pihak hospital Papar.
Pada 25/12/2009 pihak Bakit yang diwakili oleh Pn. Rasia telah menyerahkan sumbangan kepada Pn Mariam di Hospital Papar.

Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Puan Mariam cepat sembuh dan dapat menjalankan tugas hariannya dengan baik.

ANUGERAH KHAS MAAL HIJRAH 1431/2009 PERINGKAT NEGERI SABAH UNTUK BAKIT (BADAN KEBAJIKAN ISLAM TM) SABAH

18 Disember 2009 - Sempena Sambutan Maal Hijrah 1431 / 2009 Peringkat Negeri Sabah pada 18hb Disember 2009 di Dewan Sa’dah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu, Badan Kebajikan Islam TM Sabah (BAKIT) telah dianugerahkan Anugerah Pengiktirafan Khas yang telah disampaikan olih Tuan Yang Terutama, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah bin Abdullah, Yang DiPertua Negeri Sabah. Anugerah ini adalah julung-julung kalinya diperkenalkan pada tahun ini sebagai pengiktirafan kepada persatuan atau badan kebajikan Islam yang telah berjaya menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan dakwah di negeri ini melalui pengurusan yang cekap dan berkesan. BAKIT Sabah adalah penerima tunggal Anugerah Pengiktirafan Khas tersebut. Dengan ini, BAKIT Sabah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada BAKIT Pusat, AJK BAKIT Sabah serta seluruh warga TM yang mendokong dan menyokong usaha murni ini. InsyaAllah swt., kita akan terus menigkatkan usaha dan prestasi BAKIT di tahun-tahun hadapan.


Tn Hj Muhammad Bustami menerima Anugerah daripada Tuan Yang Terutama, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah bin Abdullah

SPECIAL RECOGNITION HALL OF FAME TM – EN MUSTAPHA SAKMUD


September 2009 – Naib Yang DiPertua BAKIT Sabah, En Mustapha Sakmud telah dianugerahkan ‘special recognition’ Hall of Fame TM pada bulan September 2009, satu-satunya calon dari TM Sabah. Anugerah ini adalah pengiktirafan terhadap prestasi cemerlang beliau dalam Syarikat disamping penglibatan aktif serta daya kepimpinan yang tinggi dalam bidang kesukarelawan khususnya belia serta dakwah. Untuk makluman, selain tugas hakiki beliau di TM, beliau adalah merupakan Presiden Majlis Belia Sabah, NYDP Angkatan Belia Islam (ABIM) Sabah dan NYDP BAKIT Sabah. BAKIT Sabah ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada En Mustapha diatas kejayaan ini. Sesungguhnya, beliau adalah ‘role model’ yang harus kita contohi.

ZIARAH SAUDARA BARU SIMON PIUS @ NAZZRY ADRYZAL ABDULLAH

Pada 07 Oktober 2009, AJK BAKIT Negeri Sabah telah menziarahi Saudara Nazzry Adryzal Abdullah seorang saudara baru yang sedang terlantar sakit di Hospital . Saudara Nazzry telah terlantar lebih 7 minggu disebabkan mengalami sakit sendi dan darah yang terpaksa ditukar. Lebih menyedihkan saudara Nazzry ini telah bercerai dengan isterinya dan sekarang tinggal bersama ibubapanya.

Saudara Mohctar Hj Lakura wakil BAKIT Sabah telah menyerahkan sedikit sumbangan kepada saudara Nazzry. Pihak BAKIT juga akan memohon kepada BAITULMAL NEGERI SABAH untuk mengusahakan pembayaran Hospital.

Marilah kita sama-sama mendoakan semoga saudara Nazzry akan tabah menghadapi duggan ini dan kita sama-sama membantu kerana saudara Nazzry amat memerlukan bantuan dan keperihatinan kita sebagai saudara Muslim.

SUMBANGAN BANTUAN ANAK YATIM , FAKIR MISKIN & TAHFIZ SEMPENA BULAN RAMADHAN

Syukur Alhamdulillah, dengan bantuan Ahli Jawatankuasa yang telah dilantik, BAKIT Negeri Sabah telah berjaya membuat kutipan berjumlah RM 5,000.00 daripada anggota-anggota TM Sabah yang dermawan untuk disumbangkan kepada anak-anak yatim, fakir-fakir miskin dan Pusat Tahfiz. Hasil daripada kutipan tersebut , BAKIT Negeri Sabah telah menyerahkan sumbangan kepada penerima-penerima seperti berikut :-
1. Rumah Anak Yatim Darul Bakti Kota Belud RM500.00
2. Yayasan Kebajikan Suria RM500.00
3. Pusat Tahfiz Masjid Bandar K.Kinabalu RM500.00
4. BAKIT Tawau RM500.00
5. BAKIT Labuan RM500.00
6. Encik Adzlan Tsen RM600.00
7. Fakir Miskin – Masjid TM Menggatal RM700.00
8. Anak Allahyarham Roslee Ekalali RM200.00
9. Anak Allahyarham Tussin Junut RM200.00
10. Anak Puan Dayang Rahmah Ajaib RM200.00
11. Anak Puan Asnah Sulaiman RM200.00
12. Anak Puan Hayati Mohd Tassan RM200.00
13. Anak Encik Lamdin Amit RM200.00

Mudah-mudahan usaha murni ini diberkati Allah S.W.T. dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang memerlukan .

PROGRAM ZIARAH KE YAYASAN KEBAJIKAN SURIA

Pada 15 September 2009, BAKIT Negeri Sabah telah meneruskan program ziarah ke Yayasan Kebajikan Suria untuk menyerahkan sumbangan ikhlas anggota TM kepada anak-anak di Pusat Pengajian tersebut.

Pada masa ini, penghuni Rumah Kebajikan tersebut adalah seramai 59 orang yang terdiri daripada anak-anak yang kurang berkemampuan dan anak-anak yatim.

Pihak BAKIT Negeri Sabah telah mewakilkan Puan Ruhia Lawis untuk menyerahkan sumbangan kepada Encik Mohd Baharun, Warden Yayasan Kebajikan Suria disaksikan oleh AJK dan ahli BAKIT yang turut serta dalam program tersebut.

PROGRAM ZIARAH BAKIT SABAH KEPADA ENCIK RUSDI JAMAWI

Pada 15 September 2009, BAKIT Negeri Sabah telah menziarahi Encik Rusdi Jamawi anggota Unit RNO, TM Sabah yang telah mengalami “stroke” yang menyebabkan pendarahan otak sehingga menyebabkan beliau terlantar dengan keadaan mati badan sebelah dan tidak boleh bercakap semenjak 6 bulan yang lalu. Beliau kini terlantar di rumah di Jalan Jabatan Pertanian Tuaran dan dirawat oleh isterinya Puan Alijah @ Dayang Baharun yang bertugas sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah di Tamparuli, Sabah. Puan Alijah redha dengan dugaan yang dihadapinya dan amat berterima kasih atas kunjungan ahli-ahli BAKIT. Siapa yang menyangka bahawa seorang lelaki sempurna yang dulunya bertugas di TM bersama rakan-rakan setugas kini terlantar sakit berbulan-bulan lamanya dan tidak diketahui bila akan sembuh sepenuhnya.

Encik Mochtar Hj Lakura serta beberapa orang AJK dan ahli BAKIT mewakili anggota TM telah menyerahkan sumbangan ikhlas anggota TM kepada Encik Rusdi yang begitu terharu sehingga menitiskan air mata atas kunjungan tersebut.

PROGRAM ZIARAH KE PUSAT PENGAJIAN THAFIZ

Pada 14 September 2009, BAKIT Negeri Sabah telah membuat kunjungan ke Pusat Tahfiz Al Quran As Syatibiah Masjid Bandar Kota Kinabalu yang bertujuan untuk menyerahkan sumbangan ikhlas anggota TM kepada anak-anak di Pusat Pengajian tersebut.

Pusat Pengajian tersebut yang kini mempunyai 49orang pelajar adalah bertujuan untuk mendidik anak-anak dari usia 7 tahun untuk lebih mengenali Al Quran. Pelajar-pelajar sepenuh masa di pusat tersebut adalah terdiri daripada anak-anak yang kurang berkemampuan, anak-anak yatim serta anak-anak yang mempunyai masalah seperti tidak mempunyai surat kelahiran dan kad pengenalan diri walaupun mereka merupakan rakyat tempatan di Sabah.

Sumbangan ikhlas tersebut telah diserahkan oleh Encik Taher Mado kepada Ustaz Anzalah dengan disaksikan oleh AJK dan ahli BAKIT yang turut serta dalam kunjungan tersebut.

PROGRAM ZIARAH BAKIT SABAH - Encik Jumari Salleh

Pada 14 September 2009, BAKIT Negeri Sabah telah menziarahi Encik Jumari Salleh, bekas anggota TM dari Unit Pakar CNO yang telah berhenti bertugas dari TM kerana diserang penyakit “stroke” yang menyebabkan beliau terlantar, tidak boleh mengerakkan seluruh tubuh badannya, tidak boleh bercakap serta tidak mengenali sesiapa pun. Encik Jumari yang menetap di Taman Sinar Baru, Lorong Kenawai 7D, Jalan Damai, Kota Kinabalu, Sabah amat beruntung kerana mempunyai seorang isteri Puan Jamiah A. Razak, juga anggota TM dari Unit RNO yang penyayang dan begitu tabah merawat beliau selama 11 tahun sehingga Encik Jumari boleh berjalan semula walaupun pihak hospital telah memutuskan yang Encik Jumari akan menjadi orang kurang upaya buat selama-lamanya. Puan Jamiah telah bersara pada bulan September 2009 pasrah dengan dugaan yang dihadapinya dan tidak pernah mengeluh menyara keluarganya.

Encik Taher Mado, Biro IT BAKIT serta beberapa orang ahli BAKIT mewakili anggota TM telah menyerahkan sumbangan ikhlas anggota TM kepada Encik Jumari yang begitu gembira sekali menerima kunjungan ahli-ahli BAKIT.


Program Susulan Ranau (Agihan Zakat dan Majlis Berbuka Puasa di Kg Langsat)

Pada 07 September 2009, BAKIT Negeri Sabah yang diketuai oleh En. Mohamad Bustami, TYDP BAKIT Sabah, yang mewakili Pengurus Besar TM merangkap YDP BAKIT Sabah, En Sukkuriya Masri, telah menyempurnakan tanggungjawab sosial korporat TM yang mana merupakan susulan kepada Program Lawatan Kebajikan ke Sabah Negeri di Bawah Bayu anjuran BAKIT Pusat, BAKIT KL, HELWA dan BAKIT Sabah yang telah dilaksanakan pada 8 -10 Julai 2009. Objektif program tersebut adalah untuk merapatkan lagi silaturrahim penduduk kampong dan kakitangan TM.

Pada kali ini, BAKIT Sabah telah menziarahi 4 buah kampung di Daerah Ranau iaitu Kampung Tompias, Kampung Merungin II, Kampung Tinutuan dan berakhir di Kampung Langsat. Aktiviti yang dijalankan di kampung-kampung tersebut adalah penyerahan zakat kepada saudara baru serta penyerahan sumbangan yang berupa peralatan dapur, dapur gas berserta tong gas, “generator”, “PA System”, rak buku, sedikit pakaian serta barang-barang keperluan untuk berbuka puasa dan sedekah ikhlas daripada anggota-anggota TM Sabah sendiri.

Di antara yang hadir ialah Encik Mustapha Sakmud, NYDP 1 BAKIT Negeri Sabah, Ustaz Hainin Abdullah, Imam Qariah Masjid Ranau, Encik Sabri Abdullah, Pengurus Rumah Putera Harapan, En Arimin Moidi, Pengerusi Masjid Kg Langsat dan wakil dari JHEAINS.

Majlis Berbuka Puasa di Masjid TM Menggatal

Pada 03 Sep 2009 - BAKIT Sabah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa sempena bulan Ramadhan bertempat di Masjid TM, Menggatal, Kota Kinabalu.

Majlis berbuka puasa ini,dengan kehadiran lebih 130 orang dapat mengeratkan lagi hubungan ukhuwah Islamiyah dikalangan anggota TM Sabah, pelanggan dan penduduk masyarakat tempatan. Program dimulakan dengan ceramah bertajuk ‘Ramadhan Bulan Keberkatan’ yang disampaikan oleh oleh Uztaz Anuar Ali. Seterusnya berbuka puasa beramai-ramai, diikuti dengan solat maghrib, Isyak berjemaah dan tarawih. TM memberi sedekah berbentuk wang tunai kepada seramai 13 orang golongan tidak berkemampuan yang disampaikan oleh Encik Sukkuriya Masri Pengurus Besar TM Negeri Sabah selaku Yang Dipertua BAKIT Sabah.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Encik Arif Haji Lakura Penolong Pengurus Besar, Consumer Sales Sabah, Tn Hj Musa Awang Kechil, Penolong Pengurus Besar RNO Sabah dan Tn Hj Mohamad Bustami, Timbalan Yang Dipertua BAKIT Sabah.

Program Ukhwah Ke Rumah Putera Harapan (RPH), Ranau Sabah

Pada 10 Ogos 2009, Yayasan Universiti Multimedia dengan kerjasama BAKIT Negeri Sabah telah menyempurnakan tanggungjawab sosial korporatnya melalui Program Ukhwah ke Rumah Putera Harapan (RPH), Ranau, Sabah.
Dr. Faridah Maarof, Naib Yang DiPertua BAKIT Pusat selaku wakil Yayasan Universiti Multimedia menyerahkan sumbangan berupa set mini perpustakaan, sebuah komputer riba, buku-buku bacaan serta kurma kepada pihak pengurusan RPH. Dr Faridah juga memaklumkan bahawa sumbangan kewangan juga akan diberikan untuk memulakan Program Anak Angkat dan juga akan membantu untuk mewujudkan perpustakaan mini di RPH.
Antara mereka yang hadir ke program yang ringkas tapi bermakna tersebut ialah Suhadi Saidi, Yang DiPertua ABIM Daerah Ranau dan Haji Abdul Rauf Abas, Penolong Tadbir Hal Ehwal Agama, JHEAINS dan Mohd Sabri Abdullah, Pengurus RPH.

Program Jejak Kasih Saudara-Saudara Baru TM dan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) - Kg Momoitom, Tenom

9 -10 Mei 2009 – Program menjejaki saudara baru telah diadakan di Kg. Momoitom, Tenom pada 9-10 Mei 2009, anjuran bersama TM melalui BAKIT dan juga Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEINS). Program dua hari ini telah diisi dengan sesi bimbingan asas Islam, ceramah dan juga soal jawab. Ianya dibiayai melalui sumbangan zakat perniagaan TM Sabah.

Para peserta adalah terdiri daripada penduduk Kg. Momoiton dan beberapa kampung di sekitarnya. Mereka adalah para saudara baru yang baru memeluk Islam maupun yang telah lama. Objektif utama adalah untuk memastikan mereka sentiasa istiqamah dan beramal dengan ilmu yang benar. Oleh kerana kedudukan tempat mereka yang agak terpencil, mereka jarang-jarang mendapat peluang menyertai program sebegini rupa.

Diakhir program, sumbangan berupa buku-buku agama dan keperluan surau telah diserahkan kepada AJK Surau Kg. Momoitom. Kepada para penduduk kampung yang miskin dan memerlukan, sumbangan berupa barang-barang makanan seperti beras, gula, minyak masak dll juga disampaikan. Sdr Mohamad Bustami telah menyempurnakan majlis penagguhan program bagi pihak Pengurus Besar TM Sabah, En Sukkuriya Masri.

Program Jejak Kasih Saudara-Saudara Baru TM dan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) - Kg Mansiat Sook

09-10 Jun 2009, Kg. Mansiat, Sook Keningau – Satu lagi siri Program Jejak Kasih Saudara-Saudara Baru TM dan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) telah diadakan, kali ini di Kg. Mansiat, Sook Keningau selama dua hari 09-10 Jun 2009. Program ini dibiayai sepenuhnya oleh TM melaui sumbangan zakat perniagaan syarikat. Antara pengisian program adalah kursus bimbingan asas Islam, ceramah agama, sesi soal-jawab dan juga sumbangan berbentuk buku-buku agama, sejadah dan juga makanan (beras, minyak masak, gula dll). Majlis perasmian penangguhan program ini telah disempurnakan olih En Arif Hj. Lakura, Penolong Pengurus Besar, Consumer Sales, yang mewaikili Pengurus Besar TM Sabah, En Sukkuriya Hj Masri. Rombongan TM termasuk En Kasnan (CSM), En Salleh & En Rosli (CS) dan En Idham (BS) bersama-sama En Arif dan En Mohd Bustami.

Untuk pengetahuan, Kg. Mansiat adalah sebuah kampong yang agak terpencil di daerah Sook, Keningau dengan berlatar belakangkan banjaran Trusmadi. Tempat ini masih tidak mempunyai kemudahan utiliti asas seperti bekalan letrik dan juga telekomunikasi (baik fixed maupun cellular). Walau bagaimanapun, bekalan air tidak menjadi masalah kerana para penduduk di kawasan ini mengamalkan sistem tagal. Air sungai amat bersih / jernih dan yang tercantik yang pernah kami lalui. Kita patut meneladani mereka dengan mengambil berat pemeliharaan alam semulajadi walau dimanapun kita berada.

Program Jejak Kasih Saudara-Saudara Baru TM dan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) - Kg. Sumbilingon, Ranau

25 April, 2009 – Satu lagi siri Program Jejak Kasih Saudara-Saudara Baru TM dan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) telah diadakan di Kg. Sumbilingon, Ranau selama dua hari 24-25 April 2009. Program ini dibiayai sepenuhnya oleh TM melaui sumbangan zakat perniagaan syarikat. Antara pengisian program adalah kursus bimbingan asas Islam, ceramah agama, sesi soal-jawab dan juga sumbangan berbentuk buku-buku agama, sejadah dan juga makanan (beras, minyak masak, gula dll). Majlis perasmian penangguhan program ini telah disempurnakan olih Tn Hj Musa Awang Kechil, Penolong Pengurus Besar, Operasi Rangkaian TM Sabah yang mewaikili Pengurus Besar TM Sabah, En Sukkuriya Hj Masri.

Untuk pengetahuan, Kg. Sumbilingan adalah sebuah kampung yang agak terpencil di daerah Ranau. Perjalanan ke sana mengambil masa hampir dua jam dari Pekan Ranau disebabkan oleh jalan yang teruk, berbukit dan ’gravel’. Sebahagian besar penduduk di kampung tersebut adalah terdiri daripada saudara-saudara baru dan miskin yang memerlukan bimbingan mengenai Islam yang berterusan. Pengalaman rombongan TM ke sana sedikit sebanyak membuka minda serta keinsafan betapa beruntungnya kita yang tinggal di bandar mempunyai segala kemudahan berbanding dengan kehidupan mereka yang daif dan serba kekurangan. Sesungguhnya kita mesti mensyukuri nikmat yang kita ada dengan melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Petikan daripada Ceramah Ustaz Abdul Halim Abas

Penceramah : Ustaz Abdul Halim Abas
Peserta Yang Hadir

Jenis-jenis nafsu adalah:

1. Amarah 2. Lawammah 3. Mulhammah 4. Mutmainah 5. Radhiah 6. Mardhiah 7. Kamaliah

1. AMARAH Amarah adalah martabat nafsu yang paling rendah dan kotor di sisi Allah. Segala yang lahir darinya adalah tindakan kejahatan yang penuh dengan perlakuan mazmumah (kejahatan/keburukan). Pada tahap ini hati nurani tidak akan mampu untuk memancarkan sinarnya kerana hijab-hijab dosa yang melekat tebal, lapisan lampu makrifat benar-benar terkunci. Dan tidak ada usaha untuk mencari jalan menyucikannya. Kerana itulah hatinya terus kotor dan diselaputi oleh pelbagai penyakit. Firman Allah: "Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya" "Sesungguhnya nafsu amarah itu sentiasa menyuruh manusia berbuat keji(mungkar)" "Bahkan manusia itu hendak berbuat maksiat terus menerus)" Dalam kehidupan seharian segala hukum hakam, halal-haram, perintah dan larangan tidak pernah di ambil peduli. Malah buat kejahatan itu sudah sebati. Tidak ada penyesalan, malah kadang-kadang bangga buat jahat. Contohnya dia berbangga dapat merosakkan anak dara orang, bangga dengan kehidupan songsang, minum, berjudi, pergaulan bebas malah jadi barat lebih dari orang barat. Bagi mereka pada peringkat nafsu ini, konsep hidupnya adalah sekali, jadi masa mudalah untuk seronok sepuas-puasnya tanpa mengenal batas-batas. Baik jahat adalah sama sahaja di sisinya tanpa ada perasaan untuk menyesal. Malah kadang-kadang bila boleh buat jahat seolah-olah terdapat perasaan lega dan puas. Itulah sebabnya kadang-kadang ada yang dapat nak mengawalnya dari melakukan sesuatu yang jahat. Dah jadi hobi. Hatinya telah dikunci oleh Allah sebagaimana firmanNya: "Tidaklah engkau perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsunya (amarah) menjadi Tuhan dan dia disesatkan oleh Allah kerana Allah mengetahui (kejahatan hatinya) lalu Allah mengunci mati pendengarannya (telinga batin) dan hatinya dan penglihatannya (mata hatinya) diletak penutup." Manusia pada peringakat nafsu amarah ini bergembira bila menerima nikmat tetapi berdukacita dan mengeluh bila tertimpa kesusahan. Firman Allah: "Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia,nescaya mereka gembira dengan rahmat itu.Dan apabila mereka ditimpa suatu musibah akibat kesalahan tangan mereka sendiri, lantas mereka berputus asa." Jelasnya pada peringkat ini segala tindak tanduknya adalah menuju dan mengikut apa kehendak syaitan yang mana telah dikuasai sepenuhnya olehnya(Syaitan). Rupa sahaja manusia, tapi hati dikuasai syaitan. Pada peringkat ini, manusia itu tak makan nasihat. Tegurlah macam manapun. Dia tetap tak akan berubah kecuali diberi hidayah olehNya. Mereka tidak pernah takut pada Allah dan hari pembalasan. Malah meremehkan lagi ada. Mengejek dan mencemuh. Mereka tidak pernah peduli dengan ancaman Allah seperti: "Akan dicampakkan ke dalam neraka jahanam dari golongan jin dan manusia yang mempunyai hati tidak memrhati,mempunyai mata tidak melihat,mempunyai telinga tidak mendengar.Mereka itu adalah binatang malah lebih hina dari binatang kerana mereak termasuk di dalam golongan yang lalai". Mereka suka mencela orang lain, memperbodohkan kelemahan orang lain dan melihat dirinya sendiri serba sempurna. Mereka tidak pernah menyandarkan hasil usahanya kepada Allah. Mereka fikir apa sahaja kejayaan mereka adalah hasil titik peluh diri sendiri. Jiwa mereka pada tahap ini adalah kosong dan hubungan dirinya dengan Allah boleh dikatakan tidak wujud. Dalam konteks penerimaan ilmu, orang yang bernafsu amarah hanya berupaya menerima ilmu diperingkat ilmu Qalam. Terutamanya yang mementingkan soal-soal lahiriah dunia sahaja. Tak ada minat kepada pelajaran agama dan hari akhirat. Pada peringkat tidak ada peluang sama sekali untuk menerima ghaib dan ilmu syahadah selagi hatinya kotor dan tidak disucikan dengan pembersihan zikrillah yang mempunyai wasilah bai'ah dengan Rasulullah s.a.w. Untuk membebaskan diri dari cengkaman nafsu ini hendaklah menemukan jalan wasilah ilmu Rasulullah s.a.w dengan menerima tunjuk ajar dari ahli zakir iaitu guru mursyid yang dapat memberikan petua-petua penyucian diri dan penyucian jiwa yang mempunyai mata rantai dengan Rasulullah s.a.w. Sabda Rasulullah s.a.w: "Tiap sesuatu ada alat penyucinya dan yang menyuci hati ialah zikir kepada Allah " Pada tahap amarah ini kalau berzikirpun hanya dibibir sahaja tanpa meresap ke dalam jiwa. Amarah tidak mengenal sesiapa, malah ahli kitab sekalipun walaupun ada kelulusan Azhar, walupun berserban dan berjubah. Amarah tidak pernah takut dengan itu semua malah lagi senang ia menyerang. Yang ia takut hanyalah zikrillah. Sabda Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya syaitan itu telah menaruh belalainya pada hati manusia, maka apabila manusia itu berzikir kepada Allah , maka mundurlah syaitan dan apabila ia lupa, maka syaitan itu menelan hatinya"

2. NAFSU LAWWAMAH Nafsu lawwamah ialah nafsu yang selalu mengkritik diri sendiri bila berlaku suatu kejahatan dosa atas dirinya. Ianya lebih baik sedikit dari nafsu amarah. Kerana ia tidak puas atas dirinya yang melakukan kejahatan lalu mencela dan mencerca dirinya sendiri. Bila buat silap dia lebih cepat sedar dan terus kritik dirinya sendiri. Perasaan ini sebenarnya timbul dari sudut hatinya sendiri bila buat dosa, secara automatik terbitlah semacam bisikan dilubuk hatinya. Inilah yang di katakan lawwamah. Bisikan hati seseorang akan melarang dirinya melakukan sesuatu yang keji timbul secara spontan bila terqosad sahaja dihatinya. Cepat rasa bersalah pada Allah Rasulullah atas keterlanjurannya. Ianya ibarat taufik dan hidayah Allah untuk memimpinnya kembali dari kesesatan dan kesalahan kepada kebenaran dan jalan yang lurus. Rasulullah s.a.w bersabda: "Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan menjadikan untuknya penasihat dari hatinya sendiri" "Barangsiapa yang hatinya menjadi penasihat baginya, maka Allah akan menjadi pelinding ke atasnya." Tapi bila seseorang itu meningkat ke martabat nafsu lawwamah tapi tidak mematuhi isyarat lawwamah yang memancar di hatinya, maka lama-kelamaan isyarat ini akan padam dan malap. Hingga jatuhlah kembali pada tahap nafsu amarah kembali. Sebab itu kadang-kadang kita tengok sekejap orang tu baik, sekejap berubah jahat kembali. Kemudian berubah balik. Inilah bolakan hati yang di sebabkan oleh keadaan nafsunya yang berubah-ubah. Firman Allah: "Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti (suruhan jahat) mereka setelah datang ilmu (isyarat lawwa-mah) kepadamu, sesungguhnya kamu termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim" "Sesungguhnya petunjuk Allah ialah petunjuk yang sebenarnya.Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan (jahat dan keji) mereka , setelah ilmu diperolehi (datang kepadamu) maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu". Pada tahap lawwamah ini masih lagi bergelumang dengan sifat-sifat mazmumah tapi jumlahnya mulai berkurang sedikit. Keinsafan memancar. Sekiranya dia terus mematuhi isyarat lawwamah yang ada, sedikit demi sedikit sifat-sifat keji dapat dihapuskan. Pada peringkat ini dia banyak meneliti diri sendiri dan merenung segala kesilapan yang lampau. Bila perasaan menyesal datang, orang-orang pada peringkat sangat mudah mengeluarkan air mata penyesalan. Kerap menangis dalam solat, atau bila sendirian, sewaktu berzikir, bersolawat. Air matanya bukanlah disengajakan tetapi berlaku secara spontan. Inilah dikatakan sebagai tangisan diri. Pada peringkat ini mula banyak mengkaji dan meneliti alam dan kejadian. Malah sentiasa membandingkan sesuatu dengan dirinya. Mereka juga menjadi gila untuk beribadat dan cenderung kepada perbincangan berkaitan soal mengenal diri dan mula jemu dengan persoalan yang tidak berkaitan dengan agama. Perubahan ini boleh jadi mendadak sekiranya kita terjun ke alam tasauf. Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawasanya orang-orang mukmin itu perhatiannya pada solat, puasa dan ibadat dan orang munafik itu perhatiannya lebih kepada makanan dan minuman seperti halnya binatang" "Sedikit taufik adalah lebih baik dari banyak berfikir dan berfikir perkara duniawi itu mendaruratkan dan sebaliknya berfikir perkara agama pasti mendatangkan kegembiraan" Pada tahap ini sudah mementingkan akhirat dari dunia. Namun begitu walau nak dibandingkan dengan amarah ia lebih tinggi sedikit, namun sekali-sekala ia tidak terlepas juga dari jatuh kedalam jurang dosa dan kejahatan.Imannya masih belum kuat.Namun ia cepat sedar dan cepat beristigfar minta ampun kepada Allah. Firman Allah: "Aku bersumpah dengan nafsu lawwamah" Sebagai contoh kalau tertinggal sembahyang terdapat perasaan kecut hati dan cepat menyesal sehingga terus pergi kadha. Antara sifat nafsu lawwamah adalah: 1. Mencela diri sendiri 2. Bertafakur dan berfikir 3. Membuat kebajikan kerana ria 4. Kagim pada diri sendiri yakni 'ujub 5. Membuat sesuatu dengan sum'ah -agar dipuji 6. Takjub pada diri sendiri Sesiapa yang merasa berdegup di hati sifat seperti di atas masih lagi berada pada tahap nafsu lawwamah. Ianya adalah terdapat pada kebanyakan orang awam . Harus kuat berzikir lagi untuk menembus dan menyucikan sisa-sisa karat hati. Zikir pada peringakat nafsu ini masih lagi dibibir tetapi kadang-kadang sudah mulai meresap masuk ke lubuk hati tapi dalam keadaan yang tidak istiqamah. Pada peringkat ini memang sudah timbul gila beribadat sehingga kadang-kadang merasa dirinya ringan dan melayang, kadang-kadang macam hilang dirinya. Rasa semacam semut berderau diseluruh tubuhnya terutama pada bahagian tulang belakang dan tangannya. Keadaan beginilah menimbulkan keasyikan yang menyeronokkan dengan amalan zikir dan ibadat lain. Pada pringkat ini sudah boleh menerima sedikit ilham hasil dari zauk dan kadang-kadang mengalami mimpi yang perlu ditafsir kembali oleh guru. Bila berterusan dengan petua dan amalan yang diberi oleh guru InsyaAllah nafsunya lawwa-mah ini akan meningkat kepada tahap seterusnya.

3. MULHAMAH Nafsu ini lebih baik dari amarah dan lawwa-mah.Nafsu mulhamah ini ialah nafsu yang sudah menerima latihan beberapa proses kesucian dari sifat-sifat hati yang tercemar melalui latihan sufi/ tariqat/ amalan guru lainnya yang mempunyai sanad dari Rasulullah s.a.w.Kesucian hatinya telah menyebabkan segala lintasan kotor atau khuatir-khuatir syaitan telah dapat dibuang dan diganti dengan ilham dari malaikat atau Allah. Firman Allah: "Demi nafsu (manusia) dan yang menjadikannya (Allah) lalu diilhamkan Allah kepadanya mana yang buruk dan mana yang baik, sesungguhnya dapat kemenanganlah orang yang menyucinya (nafsu) dan rugilah (celakalah) orang yang mengotorkannya(nafsu) Makam nafsu ini juga dikenali dengan nafsu samiah. Pada pringkat ini amalan baiknya sudah mengatasi amalan kejahatannya. Sifat mazmumah telah diganti dengan mahmudah. Sikap beibadat telah tebal dan amalan guru terus diamalkan dengan lebih tekun lagi. Pada penyesalan pada peringakat lawwamah tadi terus bersebati di dalam jiwa. Isyarat lawwamah sentiasa subur. Sesungguhnya taubat orang peringkat mulhamah ini adalah "taubatan nasuha". Bukan shaj di mulut tetapi hakiki. Dalam kehidupan sudah terbina satu skap yang baik,tabah menghadapi dugaan, bila terlintas sesuatu yang ke arah maksiat cuba-cuba memohon kepada perlindungan dari Allah. Firman Allah: "Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa , bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketiak itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahan." Sabda Rasulullah S.a.w: "Barangsiapa yang merasa gembira dengan kebaikannya dan merasa susah (gelisah) dengan kejahatan yang dilakukan, maka itu orang-orang mukmin" Zikir pada tahap ini telah menyerap kedalam lubuk hatinya bukan sekadar berlewa-lewa dibir sahaja lagi. Malah sudah menerima hakikat nikmat zikir dan zauk. Bila disebur nama Allah rindunya sangat besar, berderau darahnya dan gementar tubuhnya tanpa disengajakan. Firman Allah: "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu, bagi mereka apabila sahaja disebut nama Allah, nescaya gementarlah seluruh hati mereka" Perasaan ini terus menjalar sehingga bertemu kekasihnya. Antara sifat-sifat yang bernafsu mulhamah: 1. Sifat-sifat ketenangan,lapang dada dan tidak putus asa. 2. Tak sayangkan harta 3. Qanaah. 4. Berilmu laduni 5. Merendah diri/ tawwadu' 6. Taubat hakiki 7. Sabar hakiki 8. Tahan ujian dan menanggung kesusahan Mereka pada tahap ini mulai masuk ke sempadan maqam wali yakni kerapkali mulai mencapai fana yang menghasilkan rasa makrifat dan hakikat (syuhud) tetapi belum teguh dan kemungkinan untuk kembali kepada sifat yang tidak baik masih ada. Kebanyakan orang cepat terhijab pada masa ini kerana terlalu asyik dengan anugerah Allah padahal itu hanyalah ujian semata-mata. Dalam konteks ilmu pula mereka bukan sahaja menguasai ilmu qalam malah sudah dapat menguasai ilmu ghaib menerusi tiga cara laduni iaitu nur, cara tajalli dan cara laduni di peringakat sir. Yang dimaksudkan dengan laduni peringkat sir ialah menerusi telinga batin yang terletak ditengah-tengah kepala yang biasanya dipanggil bahagian tanaffas. Suara yang diterima amat jelas sekali. Tak ubah seperti mendengar suara telefon. Pada masa yang sama pendengaran zahir tetap tidak terganggu walaupun masa menerima laduni sir itu ada kawan berbual. Biasanya suara ghaib itu adalah waliyulah atau ambia yang merupaka guru-guru ghaib yang bertugas mengajar ilmu ghaib pada mereka yang diperingkat mulhamah. Tapi perlu ingat guru murysid zahir kita tetap guru. Malah Guru mursyid kita sebenarnya telah berkomunikasi terlebih dahulu dengan guru-guru ghaib ini. Sebab tu kalau tak ada murysid kita akan terpedaya dengan syaitan dan jin yang menyamar. Pembukaan telinga batin ini pada awalnya berlaku seakan suatu bisikan suara yang dapat dibahagian dalam anak telinga, dimana pada permulaannya merasa berdesing. Kemudian barulah dapat dengar jelas. Zikir tetap meningkat. Pada peringkat inilah Allah berfirman: "Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir kepada Allah.Ingatlah hanya dengan berzikir kepada Allah sahajalah hati menjadi tenteram".

4. NAFSU MUTMAINAH Inilah peringkat/ martabat nafsu yang pertama yang benar-benar direhai Allah seperti yang saudara kita nyatakan di atas. Yang layak masuk syurga Allah. Maknanya siapa sampai pada maqam ini bererti syurga tetap terjamin, InsyaAllah. Hakikat inilah yang difirmankan Allah: "Wahai orang yang berjiwa / bernafsu mutmainnah,pulanglah kepangkuan Tuhanmu dalam keadaan redhai meredhai olehNya dan masuklah ke dalam golongan HAMBAKU dan masuklah ke dalam syurgaKU". Pada peringkat ini jiwa mutmainnah merasakan ketenagan hidup yang hakiki yang bukan dibuat-buat. Tidak ada lagi perasaan gelisah. Semuanya lahir dari tauhidnya yang tinggi dan mendalam. Tauhid yang sejati dan hakiki. Tidak ada lagi perbezaan senang dengan susah baginya sama sahaja. Pada maqam inilah permulaan mendapat darjat wali kecil. Antara sifat-sifat maqam ini adalah: 1. Taqwa yang benar. 2. Arif 3. Syukur yang benar 4. Tawakkal yang hakiki 5. Kuat beribadat 6. Redha dengan ketentuan Allah 7. Murah hati dan seronok bersedekah. 8. Dan lain-lain sifat mulia yang tidak dibuat-buat. Pada maqam ini biasanya(walaupun tidak semestinya), akan adanya keramat-keramat yang luar biasa serta mendapat ilmu dengan tak payah belajar sebab sudah dapat mengesan rahsia-rahsia dari LohMahfuz. Adanya sifat lidah masin. Apa yang keluar dari mulut bukan sembarangan lagi bahkan menerusi yang dipanggil sebagai 'inkisaf'. Mereka sudah menguasai ilmu peringkat nur, tajalli, sir dan juga sirussir, iaitu lebih tinggi dari maqam mulhamah. Yang dikatakan menerusi sirussir ialah cara penerimaan dengan telinga dan mata batin. Kalau mulhammah tadi baru terbuka dengan telinga batin tanpa mata batin. Dengan mata batin inilah dia berupaya melihat sesuatu yang ghaib yang tak mampu dilihat oleh mata biasa kita. Malah dapat melihat sesuatu yang akan berlaku pada masa akan datang. Betul-betul macam melihat TV. Malah siap boleh rewind lagi. Kalau guru kita nak lihat sejarah hidup kita yang lalu biasanya dia akan memrhati rakaman hidup kita dan mengesan dimana kesilapan kita dan memberi petua untuk membetulkannya. Kalau mencuri disuruhnya kita memulangkan kembali serta minta halal dan maaf, dan sebagainya lagi. Namun begitu dia tetap akan menjaga aib muridnya kepada orang lain. Perlu dingat pada peringkat ini dia tidak terganggu penglihatan dan pendengaran zahirnya pada masa sama melihat dan mendengar yang batin walaupun duduk di kedai kopi bersama-sama orang lain. Melalui penerimaan sirussir ini dia berupaya melihat alam barzakh, menjelajahi alam alam malakut. Keyakinan mereka sudah pada tahap ainul yakin dan haqqul yakin. Fana juga boleh berlaku yang dikenali sebagai "fana qalbi" iaitu merupakan penafian diri ataupun menafikan maujud dirinya dan diisbatkan kepada wujudnya Allah semata-mata.Inilah peringkat yang kita bincangkan dulu mengenai LAA MAUJUD ILLALLAH. Keadaan inilah yang digambarkan Allah: "Semua yang ada adalah fana (tiada wujud hakikinya).Dan yang kekal(baqa) itu adalah wajah Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan" Namun fana qalbi ini tidaklah kekal.
5. NAFSU RADHIAH Maqam ini dinamakan radhiah kerana perasaan keredhaan pada segala ketentuan dan hukuman Allah. Pada maqam ini sudah tidak ada rasa takut dengan pada bala Allah dan tak tahu gembira dengan nikmatNya. Sama sahaja. Apa yang penting Allah redha padaNya. Itu kalau sakitpun dah tak perlu kepada ubat, sebab bagi dia sakit itulah nikmat kerana dia merasa makin dekat dengan tuhannya. Wang ringgit sudah sama dengan daun kayu. Emas sama dengan tanah. Dunia sudah dipandang kecil , malah sudah tidak dipandang lagi sebaliknya dunia yang datang kepadanya. Firman Allah: "Sesungguhnya wali-wali Allah itu tak rasa ketakutan dan tak pernah rasa kerungsingan di atas mereka". Ini kerana nur syhuhud sudah sebati dalam jiwa mereka. Alam sekeliling seperti cermin yang boleh mereka melihat Allah setiap ketika. Ini adalah maqam musyahadah tahap ihsan seperti hadis Rasulullah s.a.w: "Hendaklah kamu menyembah Allah sebagaimana kamu melihatNya..." INi adalah maqam wali dalam martabat khawas. Pada masa inilah apa yang diisyaratkan oleh rasulullah s.a.w: "Takutilah akan firasat orang mukmin, bahawasanya orang-orang mukmin itu melihat dengan Nur Allah". Pada tahap radhiah ini ,ia melihat melalui basyirahnya, merenung dengan kasyafnya , bertindak melalui perintah ilmu laduninya.Mulutnya dan doanya sangat mustajab.'Barang dipinta barang jadi" Orang dimaqam ini kadang-kadang perbuatannya menyalahi syariat.Percakapan kadang-kadang menyinggung orang biasa yang tak faham tapi dikeluarkan tanpa sengaja.Masih lagi mengalami fana qalbi.tapi tidak menentu.Hidupnya ibarat dilambung gelora cinta seolah terapung bersama-sama Allah.Hanya memandang dan menyaksikan sesuatu bahawa tiada suatu yang wujud di dunia ini melainkan wajah Allah semata-mata: Firman Allah: "Di mana saja kamu menghadap, maka disitulah wajah Allah Itu yang terjadi pada Al Junaid:Tiada apa dalam jubahku, melainkan Allah. Mereka sudah memandang yang banyak kepada satu.Keadaan inilah boleh menimbulkan fitnah, malah kadang-kadang orang akan anggap gila. Inilah maqam Ana'al Haq-Mansur Al-Hallaj. Zikir pada peringkat ini adalah secara 'khafi' yang telah meliputi seluruh anggota zahir dan batinnya. Pada peringkat inilah kulit berzikir, daging berzikir, tulang berzikir, malah semuanya berzikir. Tu yang jadi darah Al-Hallaj membentuk tulisan Allah lalu keluar zikir, malah kematian wali-wali seperti Tok Ku Paloh, masih lagi terdengar zikir di dadannya. Kadang-kadang mereka dijemput menjelajah alam ghaib kubra yang diluar akal manusia. Malah mereka di ajar ilmu tinggi yang lebih canggih dari manusia biasa yang boleh dicapai oleh zaman moden ini. Mereka boleh buat perhubungan secara langsung dengan para rasul, nabi, ambia dan waliyullah yang lain. Mereka menuntut ilmu dengan aulia macam berbincang dengan kawan melalui handphone, malah boleh berinteraksi beramai-ramai walaupun masing-masing berada di berbeza tempat. Sifat-sifatnya: 1. Ikhlas 2. Warak 3. Zahid 4. Dan lain-lain lagi yang baik yang ada pada maqam sebelum ini.

6. NAFSU MARDIAH Pada peringkat ini segala yang keluar darinya semuanya telah diredhai Allah. Perilakunya, kata-katanya, diamnya semuanya dengan keredaan dan keizinan Allah belaka. Akan keluar keramat yang luar biasa. Mereka sudah menanam ingatan pada Allah diteras lubuk hati mereka menerusi cara "khafi-filkhafi", maknanya secara penyaksiaan 'basitiah' iaitu penyaksian sifat ma'ani Allah yang nyata dan dizahirkan oleh diriNya sendiri. Af'al diri mereka sudah dinafi dan diisbahkan secara langsung kepada af'al Allah semata-mata.Jiwa mereka betul-betul sebati, ingatan mereka terhadap Allah tidak sesaatpun berpisah darinya. Penyaksiaan terhadap hak sifat Allah jelas baginya sehingga hilang dirinya nya sendiri. Inilah dinyatakan sebagai Abu Yazib Bistami: "Subha Inni.." "Pandanglah yang satu pada yang banyak" Peringkat ini sudah tenggelam dalam fana baqabillah. Pada peringkat inilah suka mengasingkan diri,tidak suka bergaul lagi dengan makhluk. Namun begitu ia mmepunyai kesedaran dua alam sekaligus. Zahir dan batin. Dan ia akam kemabli normal seperti biasa. Kalau peringkat sebelum ini mungkin sampai tak terurus. Konsep perjalanannya lebih kurang dengan radhiah.mereka berpegang kepada konsep: Firman Allah: "Apa yang di sisi kamu itu pasti lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal". Perkataan syatahah sudah hilang.Mereka suka hidup nafsu nafsi. Sabda Rasulullah s.a.w: "Apabila kamu sekalian melihat seseorang mukmin itu pendiam dan tenang , maka dekatilah ia.Sesungguhnya dia akan mengajar kamu hikmah" Menyentuh tentang zikirnya, zikirnya adalah zikir rahsia, tidak lagi ada lafaz dengan lidah mahupun hati, tapi seluruh anggota zahir dan batin mengucapkan dengan zikir rahsia yang didengar oleh telinga batin di maqam tanaffas. Zikirnya tidak pernah terganggu dengan alam zahir walaupun dia tengah bercakap atau buat apa sahajapun. Firman Allah: "Orang-orang berzikir kepada Allah sambil berdiri, sambil duduk dan dalam keadaan berbaring..." Bagi mereka di maqam ini setiap perbuatan, perkataan, penglihatan dan apa sahaja adalah zikir. Pada tahap ini mempunyai kekeramatan yang amat luar biasan. Namun biasanya jarang sekali menzahirkannya kelebihannya itu. Dari segi ilmu, mereka sudah memperolehi ilmu semua peringkat sebelum ini iaitu nur, tajalli, sir, sirussir malah ditambah lagi dengan cara tawasul/yaitu secara jaga dengan ambia dan waliyullah. Kehadiran wali-wali kepada orang maqam mardiah ini lebih merupakan penghormatan dan ziarah sahaja. sambil berbincang-bincang. Mereka berpeluang menjelajah seluruh alam alam maya dan alam ghaib termasuk syurga, neraka dan sebagainya. Mereka berupaya melawat bermacam-macam tempat samada dengan pecahan diri batinnya atau dengan jasad sekali. Malah dalam satu masa boleh menjelma di pelbagai tempat. Ini dipanggil "Khawa Fulkhawaf". Ianya berlaku tanpa sengaja dan tanpa dapat dikawal Sifat-sifatnya: 1. Redha dan rela dengan apa-apa pemberian Allah 2. Lemah lembut pergaulannya 3. Elok dan tingginya budi 4. Lain-lain sifat terpuji maqam sebelum ini.

7. KAMALIAH Maqam ini adalah tertinggi. Maqam ini digelar sebagai "baqa billah", Kamil Mukamil", Al Insan kamil kerana ia dapat menghimpunkan antara zahir dan batin, yakni ruh dan hatinya kekal kepada Allah tetapi zahir tubuh kasarnya tetap dengan manusia. Hati mereka kekal dengan Allah tak kira masa dan tempat, tidur atau jaga sentiasa mereka bermusyahadah kepada Allah. Ini adalah maqam khawas al khawas. Semua gerak geri mereka sudah jadi ibadat. Hatta berak kencing mereka, tidur mereka dan sebagainya. Ilmu mereka adalah seperti yang dinyatakan oleh Imam Ghazali, ilham dan ilmu mukasyafah yang diterima nya tidak bukan adalah sama dengan istilah wahyu semuanya datang terus dari Allah. Cuma kalau Rasul dan Nabi di panggil Wahyu dan manusia biasa yang kamil di panggil Ilham.

Sumbangan dalam bentuk Wang Tunai dan Barangan Sempena Program Ukuwah Ke Daerah Ranau pada 17hb - 20hb July 2009

Untuk makluman tuan/puan , Badan Kebajikan Bakit Pusat dan Bakit Helwa akan mengadakan satu Program Ziarah Ukuwah ke Sabah pada 17-20 Julai 2009 . Sempena program itu , pihak Bakit Sabah dan Bakit Pusat akan mengadakan lawatan amal ke beberapa tempat di daerah Ranau antaranya ialah Kg.Timbua , Kg Sumbolingon dan Rumah Putera Harapan .
Sempena lawatan amal tersebut , badan kebajikan BAKIT akan menghulurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai dan barangan . Barangan adalah seperti - Pakaian / tudung / kasut / beg / permainan kanak-kanak / buku-buku / majalah dll ) .

Dengan itu sudilah kiranya warga TM , menghulurkan sumbangan walaupun sedikit bagi meringankan beban penduduk di kampung tersebut .
Sekiranya tuan/puan berhasrat utk. memberikan sumbangan , bolehlah diberikan kepada AJK-AJK spt.nama yg tersenarai di bawah :-

1. Bangunan WCI – Tkt.3 - Pn.Faridah Mataib / Pn. Julitah Merjin
2. Bangunan WCI – Tkt.1 & 2 - En.Taher Mado / En.Jamal Aziz / Hj Samsidi
3. Wisma San Hin – Tkt.3 - En. Mochtar Hj Lakura / Hjh.Zainah
4. Wisma San Hin – Tkt. 4 - Pn.Suni Tamin
5. TM Kepayan - En.Samsul Bakar / Pn.Siti Kamisah Sopong
6. TM Sadong Jaya - En. Wirah Ayub / Pn.Ruhia Lawis / Cik Hjh.Junidah
7. TM Karamunsing - Pn.Dg.Rahmah / Pn.Dg.Norhayati Pg.Razid .


Tarikh kutipan adalah bermula dari tarikh e-mail ini dikeluarkan dan berakhir pada 25hb Jun 2009 . Untuk makluman tuan/puan , pusat pengumpulan sumbangan ( barangan ) adalah di stor ND , TM Kepayan . Pihak BAKIT juga akan meletakkan kotak di lokasi-lokasi yg. agak strategik bg memudahkan tuan/puan meletakkan barang yg hendak disumbangkan .( lokasi akan dimaklumkan kemudian )

Atas keikhlasan tuan/puan , terlebih dahulu pihak BAKIT mengucapkan ribuan terima kasih dan hanya Allah sahaja yg dapat membalas budi baik tuan/puan .

Wassalam.

Ceramah Bulanan Bakit TM Sabah - May 2009

Sebuah ceramah bakal diadakan berdasarkan ketetapan dibawah;

Tajuk Ceramah : Nasfu & Persoalannya
Tempat : Bilik Kambarangan II, Wisma San Hin
Masa : 3.30 ptg hingga 5.00 petang
Tarikh : 22 Mei 2009 (Friday)
Penceramah : Ust. Abd Halim Abas (Penceramah bebas)


Semua kakitangan dijemput hadir untuk menimba ilmu. Sila hantar email kepada pn Zuraidah Sagir untuk mendapatkan pelepasan.

Terima Kasih.

Majlis Penyerahan Wang Zakat

4 April 2009, Kota Kinabalu.

BAKIT Sabah telah meraikan rombongan pelajar-pelajar daripada Ranau yang akan melanjutkan Pendidikan di Pondok di Kelantan Darul Naim. Seramai 11 orang pelajar telah dipilih oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Cawangan Ranau dengan kerjasama ABIM Ranau. TM telah menyumbang sebanyak RM 2000.00 daripada Wang Zakat untuk membiayaai tiket kapal terbang para pelajar tersebut

Satu majlis ringkas penyerahan Wang Zakat telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Pengurus Besar TM dengan kehadiran wakil-wakil daripada JHEAINS dan ABIM Ranau berserta rombongan. Tuan Hj. Muhammad Bustami yang mewakili Pengurus Besar telah menyampaikan amanat beliau kepada para pelajar dan mengingatkan mereka agar belajar bersungguh dan apabila balik nanti akan menyumbang kepada gerakan dakwah di negeri Sabah terutamanya kawasan Ranau.

Tuan Haji Muhammad Bustami telah menyerahkan wang Zakat kepada wakil JHEAINS, Tn. Hj. Rauf Abas sebagai wakil pelajar dan juga menyerahkan RM 1,000.00 kepada Rumah Putera Harapan, ABIM Ranau untuk menampung kos operasi bulanan Rumah Anak Yatim tersebut.

Majlis juga telah dihadiri oleh para Jawatankuasa BAKIT negeri. Unit PRO juga telah memberikan cenderahati daripada TM kepada setiap ahli rombongan.




MAJLIS PERARAKAN DAN PERHIMPUNAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT NEGERI SABAH 2009

Majlis Perarakan dan Perhimpunan maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 2009 telahpun berlangsung pada 9 Mac 2009 bermula dari Padang Merdeka, Kota Kinabalu dan berakhir di Perkarangan Wisma MUIS, Sembulan. Kontinjen TM Sabah yang diketuai oleh Tuan Haji Sukkuriya Masri, Pengurus Besar Negeri TM Sabah telah menyertai perarakan tersebut. Sebanyak 83 kontinjen dari jabatan dan agensi kerajaan , swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pelajar sekolah serta orang ramai telah menyertai perarakan tersebut sambil membawa sepanduk dan berselawat. Tema Maulidur Rasul pada tahun ini ialah “Wahdah Pemangkin Khaira Ummah”.

Untuk makluman semua, Kontinjen TM Sabah (Tuan Rumah Kota Kinabalu) masih lagi memegang rekod sebagai Kontinjen Terbaik dalam Kategori Swasta. Bagi Pertandingan Sepanduk pula, TM mendapat tempat yang Ke-5. Tuan Haji Sukkuriya Masri, Pengurus Besar Negeri TM Sabah mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua anggota yang telah menyertai Kontinjen TM Sabah atas kejayaan yang telah dicapai dalam Majlis Perarakan tersebut. Beliau juga berharap kejayaan seumpama ini dapat dikekalkan juga dalam operasi perniagaan TM.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan atas kerjasama semua.
Untuk gambar yang lain, sila klik pautan di bawah :




Bakit Wanita: Kelas Mengaji setiap Hari Isnin - Bermula 9/2/09

Bakit Wanita dengan segala hormatnya menjemput para muslimah menghadiri kelas mengaji seperti berikut:-

Tarikh : Setiap hari Isnin ( bermula 9 Feb 2009)
Masa : 1-2 petang
Tempat : Bilik Mesyuarat Tkt 3, Finance, Bgnan WCI
Tenaga Pengajar : Ustazah Lilis Muliyani
Pendaftaran : PERCUMA


Marilah kita bersama-sama merebut peluang ini bagi memperbaiki mutu bacaan Al Quran.

Sabda Rasulullah s.a.w.
" Sesiapa yang membaca al-Quran dan beramal dengannya pasti kelak di hari kiamat kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan dengan mahkota yang bersinar-sinar cahayanya lebih terang daripada cahaya matahari yang menerangi rumah-rumah di dunia. Dengan ini, bagaimana pula pendapat kamu mengenai ganjaran orang yang mengamalkannya"

Majlis Ilmu Anjuran Biro Wanita BAKIT

BIRO BAKIT WANITA Menjemput para muslimah yang dirahmatiAllah SWT ke Majlis Ilmu yang akan diadakan seperti berikut:

Tajuk : Amalan2 Bida’ah & Kurafat
Penceramah : Ustazah Lilis Muliayani
Tarikh : 06.02.2009 (Jumaat)
Masa : 01.00 tgh – 02.00 ptg
Tempat : Bilik Mesyuarat Finance, Bgn. WCI.

SUMBANGAN DERMA TABUNG RAKYAT PALESTINE

Pihak BAKIT sabah ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Warga TM Sabah atas keprihatinan untuk menyumbangkan derma berbentuk wang ringgit untuk Tabung Palestine.

Untuk Makluman, Jumlah Kutipan yang dapat dikumpul berjumlah RM5287.00. Duit ini telah pun dimasukkan ke dalam akaun BAKIT Pusat pada 21 Januari 2009.

Semoga sumbangan tersebut sampai ke sasaran sebenar untuk menepati hasrat murni semua kakitangan.

Jazakumullahu Khairan Kathira

Program Korban TM Peringkat Kebangsaan 1429H/2008 di Labuan

Syukur Alhamdulillah ,pihak BAKIT Labuan telah selesai menjalankan ibadah korban TM peringkat Kebangsaan tahun ini di masjid Layangan, Labuan yang disempurnakan oleh YB Datuk Hj Yussof Hj Mahal , Ahli Parlimen Labuan

Utk makluman juga , Pihak RTM juga hadir pada majlis tersebut dan telah broadcast di berita RTM 1 (jam 1) pada (8hb Disember 2008).